Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala 60 cedera dalam serangan pengganas terhadap sebuah masjid di Peshawar Pakistan hari ini.
Saksi berkata, beberapa pengganas yang berpakaian polis memasuki masjid dan salah seorang daripada mereka meledakkan bom yang dipasang pada badannya. Sementara itu anggota pengganas yang lain dilaporkan bertindak melepaskan tembakan rambang setelah pengeboman di sekitar masjid.
Ketua Polis Daerah, Mayan Sa'id mengesahkan kejadian tersebut, bertempat di Barat Laut Pakistan di mana sekumpulan pengganas lengkap bersenjata memasuki masjid dan melepaskan tembakan ke arah jemaah Syiah yang sedang menunaikan solat. Setelah tiga pengeboman, bunyi tembakan kedengaran di dalam masjid.
Seorang saksi bernama Shahid Husain dalam wawancara bersama Reuter menceritakan, jemaah baru sahaja selesai menunaikan solat ketika lima militan berpakaian polis memasuki masjid dan melepaskan tembakan.
Tambahnya lagi, "Kami tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya, kemudian salah seorang penyerang meletupkan dirinya dan asap serta debu berkepul-kepul meninggi."
Pengganas Taliban yang bercita-cita menegakkan kerajaan ekstrem mengakui bertanggungjawab dalam serangan ini.
Kerajaan Pakistan berjanji akan menjalankan hukuman mati terhadap mana-mana pengganas manakala operasi ketenteraannya telah diperluaskan di kawasan Barat Laut sempadan Afghanistan.
Dalam masa yang sama, minoriti agama di Pakistan terus menjadi mangsa pembunuhan kumpulan pengganas tanpa perlindungan dari pihak kerajaan.










